Sedang - sedang sahaja
Jika perlu marah, marahlah tetapi usah terlupa
dengan perkataan sabar; jika perlu menangis,
menangislah tetapi usah terlupa dengan perkataan
tenang; jika perlu patuh, patuhlah tetapi jangan
sampai hilang kemerdekaan.
Jika mahu miskin, miskinlah tetapi jangan terlalu
miskin, nanti mudah menjadi kufur; kalau mahu
kaya, kayalah tetapi jangan terlalu kaya sampai
terlupa perkataan sedekah; jika mahu menjadi
warak, lakukanlah ibadah sebanyak-banyaknya
tetapi jangan sampai terlupa keperluan dunia.
Kalau mahu sebuah kereta mewah, belilah selagi
mampu dan menepati keperluan semasa; kalau
mahu dua buah rumah, belilah asal jangan sampai
tak tahu makna perkataan puas; kalau mahu
menimbun harta, bekerja keraslah asal jangan
sampai terlupa ibadah.
Kalau mahu berhibur, berhiburlah asal tidak terlalu
sakan dan menyalahi syariat; kalau mahu
memperkatakan hal orang, berkatalah asal jangan
sampai mengumpat; kalau mahu cemburu dengan
kejayaan orang, cemburulah asalkan anda pun
berusaha kuat sepertinya.
Hidup sederhana akan memastikan anda tidak
akan miskin selama-lamanya. Bersederhana
dalam segala hal adalah titik kejayaan dalam
semua perkara. Orang yang terlalu kaya kadang-
kadang apabila miskin terus muflis; orang yang
terlalu pandai kadang-kadang apabila bodoh terus
sasau; orang yang terlalu kuat kadang-kadang
apabila lemah terus tidak tidak berdaya.
Binalah harta sebanyak-banyaknya tetapi jangan
sampai anda menjadi hamba kepada harta; binalah
ibadah banyak-banyak tetapi jangan sampai
terlupa soal-soal dunia; binalah kedudukan di
tengah manusia tetapi jangan sampai hilang
kepercayaan orang dan tercalar maruah diri.
Bukanlah seorang yang baik kalau beribadah
sepanjang masa sedangkan untuk makan
minumnya terpaksa meminta-minta. Seeloknya
bersederhana dalam beribadah lantaran bekerja itu
pun ibadah, membuang halangan di jalanan juga
ibadah, menasihati orang juga ibadah.
Orang yang bersederhana sentiasa terpandang di
mata dunia. Dia tidak akan hina oleh kemelaratan
dan tidak terlalu tersohor oleh kepopularitian. Dia
terpandang sepanjang masa baik oleh orang yang
hina mahupun orang yang mulia. Berkuasanya
bersederhana bagaikan pakaian yang menjadi
penebat pada rasa dingin dan panas yang
membakar.
Sayidina Ali r.a. berkata, Berkhairatlah mengikut
kemampuan dan janganlah menjadikan
keluargamu hina dalam kemiskinan.
Hendak bersedekah jangan sampai jatuh miskin;
menyimpan harta jangan sampai digelar si bakhil,
beribadah jangan sampai semakin jahil.
Kata sayidina Ali r.a. lagi, Insan tidak akan
melihat kesalahan seseorang yang bersifat
tawaduk dan lemah lembut.
Tawaduk dan lemah lembut adalah kesederhana
yang nyata, membangkitkan kasih sayang dan
menumbuhkan cinta tulus. Jika anda impikan
penghormatan manusia maka bersederhanalah
dalam berbicara, berbatas-batas tatkala bergurau
senda dan menyimpan sebahagian kesukaan
ketika terlalu gembira.
Bersederhana adalah jawapan kepada segala-
galanya.
p/s: baru siap esemen.esok 1 test.jumaat mcm mau pulang ke rumah.
minggu depan 2 test.study.dah 11.50 malam.
_______________________________________________________________________